Isnin, Oktober 11, 2010

HANRUH Sebagai Jaminan Kesejahteraan Negara


Oleh: Kapten Aishah Ismail

Masyarakat kita mungkin tidak pernah mendengarkan perihal ‘HANRUH’.

Segelintir yang mungkin mengetahui, pasti tidak mengetahuinya secara menyeluruh dan mendalam. Apa itu ‘HANRUH’?

Adakah ia juga suatu konsep seperti Islam Hadhari yang diperkenalkan pemerintah?.

HANRUH merupakan singkatan bagi pertahanan menyeluruh yang merupakan suatu konsep pertahanan yang mengemblengkan peranan aktif masyarakat bukan tentera.

HANRUH menekankan supaya kesinambungan peranan mempertahankan negara bukan sahaja dipikul oleh anggota keselamatan sahaja tetapi juga anggota masyarakat keseluruhan.

HANRUH diperkenalkan, sejak tahun 1986 dan dijadikan sebagai salah satu prinsip asas Dasar Pertahanan Negara dan sebagai strategi dalam mempertahankan kepentingan negara.

Komponen HANRUH adalah meliputi aspek, Kesiagaan Keselamatan, Keutuhan dan Perpaduan Masyarakat, Kesiagaan Awam, Daya Tahan Ekonomi dan Ketahanan Psikologi.

Kesiagaan keselamatan merangkumi kesiagaan anggota keselamatan dan lain-lain agensi keselamatan bagi melindungi nyawa dan harta benda serta memelihara keselamatan awam.

Untuk melaksanakan amanah ini, angkatan keselamatan mestilah mempunyai anggota yang terlatih, mahir dan bermotivasi serta sentiasa menghadapi sebarang ancaman. Suasana masyarakat yang hidup bersatu padu dan harmoni tanpa mengira perbezaan status, kaum, agama, budaya dan negeri merupakan faktor utama kesejahteraan negara.

Kemantapan integrasi national, integrasi budaya dan tanpa perbezaan wilayah adalah asas bagi merealisasikan keutuhan Malaysia.

Kesiagaan awam membawa erti kesediaan agensi-agensi awam, pihak swasta, pertubuhan sukarela dan orang awam dalam mengadakan kemudahan perlindungan nyawa dan harta benda mereka dan negara dari bencana peperangan.

Mereka juga hendaklah melibatkan diri dalam usaha-usaha pembekalan kemudahan asas yang berterusan di dalam keadan perang, darurat dan bencana.

Ketahanan ekonomi bererti kerajaan dan swasta dalam semua sektor ekonomi berganding bahu dan bersatu untuk mempastikan kemampuan dan kekuatan ekonomi bergerak terus mantap di masa aman serta berupaya membantu keperluan keselamatan dalam menghadapi perang dan darurat. Ketahanan psikologi ialah kekuatan mental yang menunjukkan komitmen dan keyakinan yang padu terhadap kedaulatan dan pertahanan negara.

Ia bertujuan membina bangsa Malaysia yang memiliki ketahanan psikologi bagi menghadapi semua bentuk cabaran dan ancaman.Dalam konteks pertahanan negara, kerajaan telah menetapkan bahawa objektif utama Dasar Pertahanan Negara (DPN) adalah untuk melindungi dan mempertahankan kepentingan-kepentingan Malaysia berteraskan kepada kedaulatan negara, keutuhan wilayah serta kesejahteraan ekonomi.

Justeru bagi menjayakan konsep ini, langkah mempersiapkan jatidiri dan kemahiran untuk tujuan pertahanan menyeluruh terhadap komuniti bukan tentera harus diberi peranan seawal mungkin. Bermula seawal Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), anak-anak muda harus mula disedarkan tentang peranan ini dan dilanjutkan kepada penglibatan sebagai anggota Pasukan Simpanan, Pasukan Latihan Pegawai Simpanan di IPT, Pasukan Latihan Anggota Sukarela di Politeknik, Kolej dan sebagainya.

Kesinambungan latihan dan pendedahan kepada mereka-mereka ini sangat perlu diutamakan supaya keperluan ilmu ketenteraan yang telah diajar sebati dalam diri dan boleh digerakkan bila-bila masa mengikut iklim ancaman semasa dalam negara yang mana bersesuaian dengan konsep ini.

Kementerian Pertahanan mahu mengadaptasikan dan menyelaraskan konsep HANRUH ini mengikut keperluan semasa dan tidak terhad kepada keperluan semasa ancaman keselamatan seperti peperangan sahaja tetapi juga sesuai digunapakai semasa bencana alam dan juga krisis tenaga.

Selain daripada itu pengubahsuaian kedua akan turut dijalankan melibatkan perluasan fungsi meliputi aspek peningkatan ketahanan sektor ekonomi dalam menghadapi arus deras globalisasi dengan membentuk dan menguatkan ketahanan mental dan semangat juang bagi menghadapi persaingan sengit dalam dunia perniagaan. Pengubahsuaian ketiga pula meliputi aspek perlaksanaannya terhadap masyarakat bagi memupuk perpaduan masyarakat jelata berteraskan nilai-nilai hidup terpuji dan untung nasib bersama.

Aspek ini akan dipupuk secara berterusan memandangkan kepincangan dalam institusi masyarakat akan turut berupaya mengancam kesejahteraan dan kemakmuran negara.

Menyedari hakikat betapa pentingnya peranan rakyat dalam pertahanan negara maka melalui pelaksanaan HANRUH ianya akan dapat membantu angkatan bersenjata supaya meneruskan tanggungjawab mereka dalam menghadapi peperangan dan menentukan kemenangan.

Di samping itu, ianya juga akan menentukan agar aktiviti-aktiviti ekonomi dan sosial dapat terus berfungsi seperti biasa dengan gangguan yang paling minima.

Dalam mempersiapkan perlaksanaan konsep pertahanan menyeluruh ini, selain daripada institusi ATM, kepimpinan masyarakat harus dilibat sama.

Saranan Askar Wataniah di setiap Dewan Ahli Undangan Negeri (DUN) harus diberi pertimbangan wajar dan direalisasikan secepat mungkin secara sungguhsungguh.

Baru-baru ini, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Kementerian Pertahanan akan menubuhkan satu batalion Tentera Wataniah di kesemua 222 kawasan Parlimen dalam usaha memantapkan sistem pertahanan bagi seluruh negara.

“Pasukan pertahanan itu akan mengandungi 300 anggota bagi setiap platun yang terdiri pelbagai kaum dan bilangan anggota secara keseluruhan dijangka 600,000 dalam tempoh lima tahun akan datang.“

Penubuhan Tentera Wataniah adalah sebagai usaha untuk membantu angkatan tentera dalam menjalankan tugas menjaga keamanan negara. Kementerian Pertahanan juga akan mewujudkan persatuan bekas veteran tentera sebagai tanda penghargaan di atas perkhidmatan mereka dalam pasukan pertahanan pada masa lalu serta bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran untuk menambahkan lagi jumlah pasukan kadet tentera di sekolah supaya pelajar dapat diberi pendedahan awal mengenai pasukan pertahanan selain membina semangat patriotisme di kalangan mereka.

Perlaksanaan ini harus dimulakan diperingkat pemimpin komuniti secara menyeluruh dengan harapan satu hari konsep ini dijiwai dan dipatuhi oleh semua rakyat.

Pengaktifan semula agen-agen mahir seperti pesara tentera yang berumur kurang dari 55 tahun.

Sepatutnya negara meletakkan mereka-mereka ini di suatu tempat atau memberi tugas sampingan di kampung masing-masing yang dikawal selia oleh unit ATM yang berhampiran dalam konteks penugasan sebagai agenagen bantuan.

Alangkah ruginya negara yang melatih mereka ini dan membiarkan kemahiran mereka terbiar.

Memang benar pesara-pesara berada dalam senarai pasukan simpanan tetap dan akan dipanggil bila masa memerlukan tetapi ironinya pemeliharaan itu harus bermula dari permulaan persaraan untuk mengekalkan mood dan moral mereka.

Penglibatan semula mereka ini dalam konsep HANRUH bukan sahaja akan membenteng setiap inci tanahair, malah ia juga pemangkin kepada pendapatan tambahan untuk kelansungan hidup.

Di dalam konteks HANRUH, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan melaksanakan usaha-usaha yang menyeluruh bersama agensi-agensi kerajaan dan swasta untuk menentukan pemeliharaan kedaulatan dan keutuhan negara pada sebilang masa.

Aspek-aspek yang dipertekankan di dalam HANRUH bukan saja meliputi ketenteraan bahkan aspek pembentukan pemikiran rohani dan jasmani, material, perkhidmatan dan sumber manusia.

HANRUH mengandungi dua komponen iaitu Angkatan Tetap (Regular Force) dan Angkatan Simpanan (Volunteer Force) yang telah dikenali sebagai Askar Wataniah.

Kedua-dua angkatan ini hendaklah dianggap sebagai satu angkatan yang sama-sama menggunakan sumber yang diperuntukan untuk benteng pertahanan negara.

Tiada ulasan: