Isnin, Oktober 10, 2011


SEJARAH ASKAR WATANIAH MALAYSIA



Askar Wataniah Malaysia (AW) adalah suatu angkatan sukarela yang berlainan daripada badan-badan sukarela yang lain. AW merupakan Angkatan Sukarela yang bersama-sama Tentera Darat dalam mempertahankan negara kita yang tercinta. Penyertaan rakyat dalam AW merupakan satu sumbangan murni bagi menyahut seruan pertiwi sesuai dengan konsep HANRUH (Pertahanan Menyeluruh) yang ditetapkan dalam Dasar Pertahanan Negara. Sebagai sebuah negara yang pesat membangun dan berwawasan, penglibatan rakyat dan semua pihak adalah amat perlu bagi memainkan peranan dalam pembangunan serta pertahanan negara. HANRUH antaranya menetapkan bantuan nasional termasuk penggemblengan semua sumber negara di samping penglibatan Angkatan Tentera Malaysia.


Penyertaan rakyat dalam Angkatan Sukarela di Semenanjung Malaysia  bermula semenjak 1902 lagi apabila Kerajaan Inggeris menubuhkan Pasukan Sukarela di Negeri-negeri Melayu Bersekutu yang dipanggil Federated Malay States Volunteer Force (FMSVF), pasukan Sukarela di Negeri Melayu Tidak Bersekutu pula dipanggil Unfederated Malay States Volunteer Force (UNFMSVF) dan di Negeri-Negeri Selat pula ialah The Straits Settlement Volunteer Force (SSVF).


Pasukan-pasukan Sukarela telah memainkan peranan yang begitu penting terutamanya semasa dalam Peperangan Dunia Kedua, Darurat 1948-1960 dan Konfrontasi. Semasa darurat ia dikenali sebagai Home Guard. Pasukan ini telah disusun semula sebagai Pasukan Pertahanan Tempatan pada 1 Jun 1958 dan seterusnya dikenali sebagai Askar Wataniah Malaysia.


Konsep mempertahankan negara melalui pasukan sukarela di Tanah Melayu telah bermula sejak awal Zaman Pemerintahan British. Malahan konsep ini telahpun wujud sejak Zaman Kesultanan Melaka, yang mana mereka sanggup berkhidmat secara sukarela serta melafazkan taat setia kepada raja untuk mempertahankan negara.


Januari 1874, dengan termeterainya Perjanjian Pangkor telah membuka ruang kepada British untuk campur tangan dalam pentadbiran Negeri-Negeri Melayu. Pada 1 Julai 1896, Persetiaan Persekutuan telah ditandatangani. Dengan ini, terbentuklah Negeri-Negeri Melayu Bersekutu serta campur tangan British yang lebih meluas. Berikutan dengan wujudnya Persetiaan Persekutuan, Negeri-Negeri Melayu Bersekutu seolah-olah tertakluk kepada kuasa pemerintahan Negeri-Negeri Selat, di mana segala masalah keselamatan dan pertahanan dirujuk kepada pemerintahan Negeri-Negeri Selat.


Tiada ulasan: